Thursday 22 February 2018

BAB 2 Sistem Nilai Dan Sikap Di Kalangan Belia

Pengenalan
Persoalan belia sebagai Waris Negara
Nilai dan sikap di kalangan belia
Matlamat perpaduan dan gerakan belia di Malaysia
Penutup  

Pengenalan
Perbincangan mengenai belia sama ada yang berkaitan dengan urusan ekonomi, dengan kegiatan dan perkembangan politik ataupun dengan persoalan sosial dan budaya - pada umumnya sudah banyak dibuat. Telah banyak ditunjukkan betapa pentingnya penglibatan dan peranan belia dalam usaha pembangunan sosio-ekonomi, sosiobudaya, politik, pendidikan dan sebagainya. Maka itu, tentulah ramai orang sudah maklum bahawa apabila sahaja dikatakan belia itu, akan terbayanglah pada mereka sekumpulan ataupun satu golongan penduduk yang ‘muda-muda’, yang mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri kelakuan yang tertentu pula. Mereka merupakan golongan orang muda (young people) yang dari segi kronologi umur berada dalam lingkungan umur di peringkat remaja sehingga awal golongan tua, iaitu sekitar usia 15 hingga akhir 30-an. Kelompok umur ini menjadi kelompok perantaraan di antara kelompok umur kanak-kanak dan awal remaja dengan kelompok umur dewasa dan orang tua. Di Malaysia, kira-kira 60% penduduknya pada hari ini berada dalam lingkungan umur demikian - satu ciri umum dalam kebanyakan negara yang sedang membangun.
Di luar pertimbangan umur yang mungkin lebih statik sifatnya itu, bagaimanapun, yang lebih menarik pada golongan ini adalah tentang sifat-sifat atau ciri-ciri tingkah laku mereka. Pada umumnya, mereka mempunyai dua sifat yang sekaligus saling bertentangan.
Pertama sebagai ‘orang muda’, maka mereka pada anggapan setengah-setengah pihak dan pengkaji, dikatakan sebagaigolongan yang bertenaga, lebih produktif, lebih menguntungkan dari segi sumbangan tenaga kerja ekonomi, dan kerana itu, mereka seringkalinya dikatakan sebagai harta atau ‘asset’ - hak milik yang berguna pada negara; hatta boleh digunakan (digerakkan - mobilized) untuk memenuhi tujuan menyokong, menegakkan dan meneruskan pemegangan kuasa seseorang pemimpin atau sesebuah parti politik yang memerintah. Pemimpin-pemimpin seperti Hitler di Jerman; Lenin di Russia; Mao-Tse-Tung di Republik Rakyat Cina, bahkan Allahyarham Sukarno yang pernah menyebutkan, Berikan aku sepuluh orang pernuda, nescaya boleh ku robohkan (politik - status quo) dunia... " adalah antara sekian banyak kes yang telah memperlihatkan kepada dunia bahawa kehebatan dan kecemerlangan politik mereka bersandar sedikit banyaknya pada  sokongan dan penglibatan tenaga golongan belia. Sifat kedua yang ada pada golongan belia itu ialah sifat mencabar, resah gelisah dan cenderung untuk menentang establishment dan status quo masyarakat, iaitu tingkah laku yang dianggap kurang ajar, anti-social dan dengan itu, dianggap sebagai masalah dan menjadi beban kepada masyarakat dan negara. Sifat ini seringkali membimbangkan pemimpin dan negarawan. Malahan dalam tahun 1960-an dan hingga pertengahan 1970-an, tradisi mencabar dan menentang ini berlaku di setiap penjuru alam. Sebagai golongan yang dikatakan ‘the angry young men’ mereka telah bangkit menentang campur tangan Amerika di Vietnam; menentang kerajaan De Gaule di Perancis; menentang komunis di Indonesia; terlibat dalam Revolusi Kebudayaan di Republik Rakyat Cina; berjaya menjatuhkan rejim tentera Thanom-Prapas di Thailand (Okt. 1973); dan malahan di Malaysia sendiri, peristiwa-peristiwa demonstrasi belia-pelajar dalam kes-kes pendudukan tanah haram, isu bahasa kebangsaan, anti-Tunku dan kemuncaknya, Demonstrasi Baling-Pelajar awal Disember 1974 lalu merupakan sebahagian peristiwa yang bergolak yang melibatkan golongan belia; dengan meninggalkan kesan-kesan tertentu, positif dan negatif pula.
Persoalan Belia sebagai Waris Negara
Kedua-dua sifat belia yang disebutkan di atas itu ada hubungannya yang tertentu dengan kedudukan dan peranan golongan belia di Malaysia sendiri. Bahkan ia menjadi istimewa lagi apabila mengingatkan bahawa golongan belia hari ini ialah bakal pewaris masyarakat dan negara pada suatu masa nanti. Pemimpin-pemimpin belia yang masih ‘muda belia’ hari ini dianggapkan, sebahagian besar jika tidak pun kesemua mereka, sedang menghayati dan menjalani suatu latihan kepimpinan tertentu dalam persatuan masing-masing bagi membiasakan diri mereka dengan tugas dan tanggungjawab yang lebih besar dan lebih mencabar yang akan dipikul mereka pada suatu masa nanti. Hukum alam memang menentukan bahawa golongan tua akan diganti, iaitu apabila tiba ajalnya, oleh golongan yang lebih muda; dan sesungguhnya hukum hayat yang ditakdirkan Tuhan sedemikian rupa meyakinkan kita semua akan hakikat betapa kedudukan belia hari ini adalah sebagai pewaris negara dan masyarakat pada masa hadapan itu.
Namun begitu, penggantian dan pewarisan yang dimaksudkan itu bukanlah terjadi dengan begitu sahaja dan semata-mata sekadar berkeadaan semula jadi sahaja. Untuk menunggu dengan penuh harapan begitu sahaja adalah suatu tindakan dan sikap negatif yang berbahaya dan silap. Ia sesungguhnya memerlukan suatu usaha tertentu. Dan usaha tersebut pula menggambarkan sikap dan nilai belia itu sendiri. Maka di sinilah pentingnya persoalan-persoalan tertentu mengenai sifat-sifat tingkah laku belia yang disebutkan itu. Antaranya, apakah sifat dan tradisi mencabar dan menentang itu sesuai dengan nilai dan sikap masyarakat Malaysia? Apakah penentangan dan masalah yang ditimbulkan oleh golongan belia itu boleh memastikan wujudnya masa depan yang kukuh dan meyakin­kan bagi negara ini? Dan di sebaliknya pula, apakah bentuk-bentuk pengawasan dan kawalan yang ada sekarang boleh menjamin wujudnya perpaduan yang kukuh dan berterusan bagi masyarakat berbilang kaum etnik di negara ini pada masa hadapan? Banyak lagi persoalan yang boleh dikemukakan, tetapi sekadar untuk dijadikan garis panduan dalam perbincangan ini, bolehlah disebut di sini bahawa dalam usaha memahami keterlibatan belia sebagai pewaris negara itu, ia tidak hanya membabitkan persoalan nilai dan sikap yang ada pada mereka sahaja, bahkan juga berkaitan dengan matlamat kegiatan dan gerakan bersama yang ingin mereka capai, termasuk yang utamanya, untuk tidak menafikan matlamat perpaduan masyarakat yang akan mereka warisi itu semata-mata kerana sifat majmuk masyarakat yang mereka anggotai itu.
Nilai dan Sikap di Kalangan Belia
Perkaitan antara nilai dan sikap, matlamat perpaduan serta susunan kehidupan masyarakat (societal order) itu berkeadaan saling pengaruh-mempengaruhi. Nilai dikatakan sebagai suatu gagasan yang boleh menggambarkan bentuk tingkah laku, pemikiran dan pegangan seseorang atau segolongan tertentu anggota masyarakat terhadap sesuatu, dalam persekitaran mereka - benda-benda, kejadian, peristiwa, berdasarkan kemampuan, keutamaan dan cita-cita. Nilai itu boleh berubah mengikut masia, golongan, serta perubahan-perubahan persekitaran itu sendiri. Misalnya, ada pemimpin belia pada suatu masa dahulu amat dicurigai, tetapi individu pemimpin yang sama sekarang ini disanjung dipuja. Sementara itu, golongan belia Amerika dalam tahun-tahun 1960-an dan awal 1970-an umpamanya, berdasarkan pandangan dan pemikiran mereka, telah bertindak mengadakan demonstrasi menentang penglibatan dan campur tangan kerajaan Amerika dalam perang di Vietnam, sedangkan sekarang ini, belum lagi ada demonstrasi serupa dianjurkan buat menentang tindakan tentera Israel yang menjadi sekutu Amerika menembak orang-orang pelarian Palestin di Lebanon.
Dalam tempoh yang sama, iaitu dalam tahun-tahun 1960-an dan awal 1970-an itu juga, nilai dan sikap golongan belia di Malaysia memperlihatkan beberapa bentuk kesedaran tertentu yang telah mencetuskan demonstrasi demi demonstrasi. Sikap dan kesedaran mereka itu dicetuskan oleh adanya banyak kelemahan dan kelalaian di pihak pemerintah, atas simpati terhadap penderitaan rakyat di desa dan di bandar, serta lain-lainnya sehingga mendorong mereka bangkit menentang penyelewengan yang sedang berlaku itu.
Sikap dan tindakan menentang itu mungkin mencapai kejayaan tertentu, kalaupun tidak sepenuhnya. Kejayaan demonstrasi belia- pelajar tentera Thanom-Praphas adalah salah satu daripadanya. Namun banyak juga yang tidak demikian halnya. Pun begitu, tindakan golongan belia itu sedikit banyaknya telah dapat menyedarkan pihak-pihak yang berkuasa untuk membaiki kelemahan yang ada pada mereka. Dan sesungguhnya harga gerakan demikian itu sememangnya melibatkan pengorbanan tertentu, tetapi kesannya boleh lebih mematangkan seseorang pemimpin atau sekumpulan pemimpin yang masih muda itu untuk melengkapkan diri mereka dengan selok-belok perjuangan dan usaha mencapai matlamat tertentu pada masa-masa yang akan datang.
Keberkesanan untuk bersuara dan bertindak dalam gerakan-gerakan yang disebut di atas itu juga sebenarnya mengajar seseorang pemimpin belia untuk dapat mewujudkan suatu paduan pendapat dan cara bertindak di kalangan belia itu sendiri. Tegasnya tindakan tersebut memerlukan suatu daya usaha dan kemampuan untuk menyusun organisasi, menentukan strategi dan rancangan bergerak yang rapi. Hal ini lebih-lebih lagi penting dalam konteks masyarakat Malaysia kerana dengan sifat majmuk masyarakatnya itu, ia memerlukan adanya paduan pendapat dan persefahaman antara kaum kerana isu yang ditimbulkan itu melibatkan semua pihak dan kaum. Sekiranya tidak ada perpaduan, sama ada di kalangan pemimpin belia antara kaum atau golongan belia itu umumnya, maka tindakan menentang atau mencabar yang didorong oleh cita-cita dan sikap positif untuk membaiki masyarakat itu akan menjadi sia-sia sahaja. Bahkan tindakan itu lebih mudah untuk ditumpaskan sejak awal-awalnya lagi.
Soal perpaduan antara kaum di kalangan pemimpin dan golongan belia atas sikap dan nilai bersama di negara ini sendiri bagaimanapun masih merupakan suatu bentuk masalah yang sukar untuk diatasi. Ia sesungguhnya membayangkan corak kehidupan masyarakat itu seluruhnya yang masih belum berpadu dengan kukuhnya. Dan keadaan seperti ini memang menimbulkan rantaian masalah dan cabaran terhadap golongan belia sendiri dan ia tidak mudah untuk diatasi. Hakikat ini boleh diperhatikan dalam organisasi gerakan belia yang terdapat dewasa ini.
Matlamat Perpaduan dan Gerakan Belia di Malaysia
Sebagai sebuah negara yang merdeka selepas Perang Dunia Kedua, Malaysia dianggap negara baru muncul. Dalam usianya selama 37 tahun ini, maka Malaysia, sebagaimana juga kebanyakan negara yang sedang membangun yang lain, berusaha untuk memenuhi hasrat dan cita-cita kemerdekaan bagi kesejahteraan hidup rakyatnya, iaitu kemakmuran ekonomi (economic prosperity) politik yang mantap (political stability) dan perpaduan di kalangan rakyat (people solidarity/national unity).
Secara bandingannya, kemakmuran ekonomi bagi negara ini boleh dicapai dengan lebih mudah kerana terdapatnya usaha perancangan projek pembangunan yang sentiasa dikemaskinikan, terdapatnya sumber-sumber kekayaan hasil bumi dan kesuburan tanah, kemasukan teknologi, pinjaman modal serta kepakaran tertentu sepertimana yang boleh kita perhatikan dalam kehidupan kita sekarang.       
Kestabilan politik juga secara bandingannya adalah memuaskan kerana sejak sekian lamanya, kerajaan yang dipilih oleh rakyat dapat berjalan dengan baik. Kita juga mempunyai pemimpin yang boleh dibanggakan, bahkan yang sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat terbanyak. Namun demikian, apa-apa yang disebutkan secara mudah di sini mungkin merupakan suatu hakikat semasa yang belum tentu dan pasti lagi akan berterusan pada masa-masa hadapan nanti.
Matlamat dan cita-cita perpaduan rakyat, bagaimanapun, tidaklah terletak pada sumber hasil bumi, atau pada kebolehan pemimpin sahaja, tetapi adalah lebih daripada itu, iaitu memerlukan penglibatan dan tindak balas rakyat bersama, termasuklah golongan belia seluruhnya. Penglibatan golongan belia dalam hal ini sebenamya adalah lebih penting lagi kerana mereka, sebagaimana yang telah disebutkan di atas, menjadi golongan yang akan mewarisi dan seterusnya membentuk masyarakat dan mencorakkan negara ini pada masa hadapan. Dan untuk maksud ini, sebilangan daripada mereka bergiat dalam pertubuhan atau persatuan-persatuan sukarela belia, baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat daerah dan di peringkat tempatan - di kampung-kampung ataupun petempatan-petempatan.     
Dalam hubungan ini, untuk menilai sejauh manakah pemu- pukan nilai dan sikap yang berdasarkan perpaduan di kalangan belia itu, suatu pemeriksaan umum wajarlah dibuat terhadap usaha dan bidang gerakan belia melalui organisasi atau pertubuhan-pertubuhan yang mereka ceburi dan libati itu. 
Dari segi susunan gerakan, kita dapati bahawa Malaysia mcmpunyai suatu kerangka (framework) gerakan belia secara berorganisasi yang boleh dibanggakan. Sudah terdapat, umpamanya, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan yang telah diusahakan penubuhannya sejak tahun 1964 lagi. Dewasa ini, sudah terdapat 21 buah pertubuhan belia (bertaraf) kebangsaan yang (kecuali sebuah) bergabung dalam Majlis Belia Malaysia (MBM). Selain itu, sudah terdapat sebuah ‘parlimen’ bagi golongan belia iaitu yang dikenali sebagai Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang bertujuan membincangkan dan memutuskan rancangan atau tindakan tertentu antara pihak belia dengan wakil-wakil kerajaan.Perlu juga disebutkan di sini, iaitu di sebalik kurang lebih 3 juta orang belia yang masih belum terlibat dalam mana-mana persatuan atau kelab-kelab belia itu, namun sudah terdapat lebih daripada 1 1/2 juta orang belia menganggotai salah sebuah daripada ribuan cawangan atau kelab gabungan bagi mana-mana sebuah pertubuhan belia kebangsaan itu.
Kerajaan sesungguhnya rnemang menggalakkan belia terlibat dan menyertai persatuan-persatuan belia itu. Bahagian Belia di KKBS sentiasa berusaha memberikan peluang, bantuan kewangan dan teknikal, serta latihan-latihan tertentu bagi golongan ini sepertimana yang digariskan sebagai Prinsip 3 Padunya bagi memenuhi tuntutan-tuntutan yang berupa (a) pembangunan ekonomi negara, (b) perpaduan nasional, dan (c) keselamatan negara; sementara pencapaian yang diharapkan daripada usaha tersebut berupa tiga bentuk kemahiran dan kecekapan, iaitu {a), kemahiran teknik, (b) Kemahiran berniaga, dan (c) kemahiran memimpin. Kesemua hal ini dilakukan dengan berpandukan dasar dari cita-cita negara, iaitu Rukunegara.
Kesemua tuntutan, masalah, serta matlamat ini berupa suatu bentuk penyediaan yang akan membolehkan golongan belia di negara ini menjadi anggota masyarakat dan rakyat yang berguna dan boleh dibanggakan - cekap, mahir, berilmu, berdisiplin, beriman, matang, dan bertindak wajar.
Namun demikian, jika diperhatikan dari sudut pendapat dan penilaian seseorang pemerhati profesional/bebas, kejayaan yang dicapai sehingga ini masih belum begitu memuaskan. Memang kita mengakui sudah ada belia yang terlatih dari berbagai-bagai institusi dan kursus tajaan KKBS dan pertubuhan belia tertentu. Sudah ada Konferasi Belia Nasional; sudah terdapat belia yang mahir dari segi teknik, pemiagaan, pertanian dan malahan sudah terdapat suatu bentuk ‘persefahaman’ antara golongan belia dengan pihak pemimpin politik kepartian sehingga terdapatnya sebilangan pemimpin belia yang diberi kepercayaan menjadi pemimpin- pemimpin dalam kerajaan, hatta menjawat jawatan menteri dan/atau menteri besar. Tetapi dalam konteks perpaduan belia secara khususnya masih terdapat kelemahan dan keretakan tertentu.
Sungguhpun kita diperkenalkan oleh pihak kolonial Inggeris akan organisasi-organisasi sukarela belia tertentu, dan kita meneruskan tradisi berpersatuan itu, namun sehingga hari ini, konsep berpersatuan di kalangan belia masih kuat terikat dengan kepentingan-kepentingan kesukuan, kelompok, dan tegasnya masih bersifat perkauman. Dewasa ini pertubuhan-pertubuhan belia yang popular dan dianggap terkemuka adalah lebih banyak mewakili kumpulan belia Melayu - dalam Belia 4B, MAYC, ABIM, GPMS, PKPIM dan sebuah dua lagi yang lain. Pertubuhan-pertubuhan belia yang lain - GBB dan Belia Buddhist bagi golongan belia Cina; sementara Tamil Bell dan Majlis Belia Hindu bagi belia India; ftidaklah sehebat peftubuhan-pertubuhan belia Melayu yang telah disebutkan.Keadaan yang disebutkan ini menimbulkan beberapa implikasi tertentu yang mungkin tidak sesuai bagi pemupukan perpaduan di kalangan belia. Pertama, kedudukan pertubuhan- pertubuhan berkenaan seolah-olah tidak lebih merupakan suatu Malay affairs dan bukannya suatu Malaysian affairs. Keduanya, identiti perkauman tidak sahaja terdapat pada parti-parti politik, bahkan tampaknya sudah bermula dan terorientasi di peringkat pertubuhan-pertubuhan belia lagi. Dan yang ketiganya, perbezaan yang demikian, secara tidak disedari, boleh menyebabkan minat, cara berfikir, sikap, serta commitment yang tidak sama rata berkembang di kalangan generasi muda berkenaan, dan hal ini boleh menjejaskan usaha memupuk perpaduan.
Sementara itu, perpaduan di kalangan pemimpin belia sendiri, sama ada di peringkat antara kaum/etnik mahupun sesama atau satu kaum/etnik masih belum terjamin. Naungan MBM sendiri, sebenamya, berjalan secara longgar, sukarela dan demokratik. Bah­kan jika diperhatikan dari akibat Demonstrasi Baling - Pelajar 1974 lalu, MBM hampir lumpuh atau terhapus sama sekali kerana sebilangan pertubuhan yang bergabung di dalamnya telah bertindak keluar darinya. Sama ada tindakan tersebut disebabkan oleh adanya pengaruh dan kepentingan politik kepartian atau desakan tertentu, termasuk konflik peribadi di kalangan pemimpin-pemimpintfya, ternyata bahawa perasaan saling mencurigai itu masih terdapat. Dari sesudah MBM dipulihkan semula (sekitar tahun 1977), ada pula sebuah pertubuhan lain, yang bertindak keluar dari MBM atas alasan-alasan tertentu. Tindakan keluar masuk ini, daripada satu segi, memang menggambarkan ciri-ciri demokrasi masyarakat Malaysia. Tetapi dari satu segi yang lain, sekurang-kurangnya di peringkat golongan belia, boleh menjejaskan konsep perpaduan yang ingin dipupuk itu. Bagi sesetengah pihak bagaimanapun, keadaan ini menguntungkan kerana disebabkan adanya persaingan, malahan perpecahan, di kalangan belia itu, maka lebih mudah pula bagi mereka menggunakan sesetengah pemimpin dan pertubuhan belia tertentu dalam usaha mengukuhkan kedudukan politik mereka pula. Apalagi jika terdapatnya tokoh-tokoh dan pemimpin belia tertentu yang mempunyai cita-cita untuk muncul menjadi pemimpin politik dan negarawan pula pada suatu masa nanti.
Penutup
Haruslah diakui bahawa persoalan tentang nilai dan sikap dan hubungannya dengan soal perpaduan belia itu tidak mungkin dapat dibincangkan secara muktamad dan sempuma. Ini kerana persoalan dan fenomena nilai dan sikap itu sentiasa boleh berubah atau dengan kata lain, berupa suatu proses yang sentiasa berkembang, dialami bersama dan boleh diperkatakan dari berbagai-bagai sudut dan analisis. Dan kerana itu, perbincangan yang dikemukakan di sini tidak pula dimaksudkan untuk mengemukakan model-model, saranan dan altematif khusus yang mungkin diharapkan akan dapat memecahkan persoalan dan masalah yang dihadapi itu.
Namun begitu, dalam perbincangan di atas, telah disebutkan beberapa isu dan aspek penting dalam sikap dan nilai serta pergerakan belia di negara ini. Telah disebutkan bahawa kurang lebih 60% penduduk Malaysia terdiri daripada golongan belia.
Telah juga dibangkitkan tentang sesuai tidaknya tradisi the angry young men - tradisi mencabar dan menggugat dan di sebaliknya tentang suatu sikap lain iaitu yang sentiasa patuh dan bersetuju itu dalam hubungannya dengan nilai dan sikap di kalangan generasi muda yang bakal menjadi waris negara ini. Dan antara dua sifat dan tradisi ini, tidak satu pun yang benar-benar sempurna. Kalau sekiranya sentiasa mencabar dan mempertahankan tradisi mencabar dan menentang itu, hasilnya belum pasti sentiasa menguntungkan; sedangkan di sebaliknya pula, kalau sentiasa hanya mengekalkan tradisi yes men dan menjadi pak turut sahaja pun belum tentu sentiasa bermanfaat. Kalau terlalu mempertahankan prinsip dan semangat menentang, maka generasi akan datang mungkin mempunyai pemimpin-pemimpin yang terlalu bersifat dogmatik, radikal dan paling berbahaya sekali tidak dapat bertolak ansur sehingga menakutkan kumpulan etnik atau kelompok yang bukan diwakilinya itu. Sebaliknya pula jika hanya sentiasa bersedia menjadi pak sanggup dan kakaktua, akan menyebabkan pula - kerana nilai dan sikapnya yang pragmatis, opportunistic dan terlalu liberal itu banyak pihak dan kelompok yang bersedia mengambil peluang menjadikan mereka sebagai batu loncatan dalam mendapatkan sesuatu dan lebih berbahaya lagi, keadaan ini boleh menjejaskan perpaduan dalaman kumpulan etnik yang diwakilinya sendiri. Dalam hubungan ini, maka sesungguhnya seseorang belia itu harus memeriksa diri sendiri sebelum memainkan peranan sebagai waris masyarakat pada masa hadapan.
Nota: Tulisan ini asalnya ialah kertas kerja yang tclah dibcntangkan dalam Simposium Kepimpinan Bclia Kebangsaan, anjuran Persatuan Belia Bimbingan, Alor Setar dan Kcrajaan Ncgcri Kedah, di Alor Setar pada 26 - 28 Disember 1983.

No comments:

Post a Comment

BAB 13 ISU-ISU SEMASA MENGENAI GERAKAN BELIA

Pengenalan Dalam tcmpoh 24 jam sewaktu saya mula menyiapkan tulisan ini, ada dua isu atau peristiwa semasa yang berkenaan dengan belia yan...